About Me

My photo
bandar bera, pahang, Malaysia
oku

Alhamdulillah...

Ya Rabb, Kini sinarmu kembali menerjah seluruh jasadku... Aku kini kembali menjadi insan yang sentiasa mengingatiMu, Yang hanya menyerah diri padaMu, Sesungguhnya solatku ibadahku hidupku matiku hanya untukMu Ya Allah...

Ya Rahman, Kau telah tunjukkan sinar itu tika aku kebuntuan, Kau beri hamba hidayah yang tidak terhingga pada hambaMu ini, Terima kasih Ya Allah, Terima kasih!!

Ya Rabbul Izzati, Engkau baik, Engkau adil, Engkau penyayang, Engkau pengasih, dan Engkau bersifat Asmaul Husna, Terima kasih untuk segala nikmatMu ya Allah... Jazakallah ya khair!!

Thursday, January 10, 2013

METODOLOGI AL-QUR'AN DALAM MENGAJAK KE ARAH TAUHID ( bab 2 )


A) Al-Qur'an datang membawa ajaran tauhid yang murni daripada sebarang kekeliruan. Al-Qur'an mengemukakan dalilnya
bagi setiap seruan yang ditampilkannya. Al-Qur'an melaporkan perihal anutan yang dipegangngi oleh manusia yang
menyanggahi ajaran daripada kalangan orang-orang musyrikin dan ahli kitab. Kemudian Al-Qur'an menegakan hujahnya
untuk membuktikan kepalsuan pegangan mazhab-mazhab mereka. Justeru, al-Qur'an menganjurkan penggunaan akal dan
menggerak cergaskan daya berfikir serta mengejutkan kembali manusia supaya kembali kepada fitrah asal kejadian mereka
iaitu perasaan tentang adanya Tuhan Maha Pencipta. Al-Qur'an membentangkan perihal sistem alam maya dan bagaimana
penciptaanya yang dilakukan dengan kemas supaya manusia menggunakan akal mereka agar meyakini dan beriman dengan Maha
Pencipta. Maka buat pertama kalinya setelah perutusan sekalian rasul yang lain, kitab suci yang didatangkan kepada
Nabi Muhammad s.a.w (al-Qur'an) menggandingkan peranan akal dan syarak melalui lisan seorang Nabi s.a.w. Maka
al-Qr'an memperkenalkan bahawa beberapa isu agama ada peranan akal untuk mensabitkanya seperti mengetahui tentang
keujudan Allah, qudrah, dan ilmu-Nya. Mesej yang disampaikan oleh al-Qur'an memberikan kefahaman bahawa agama ini jika
didatangkan dengan taraf yang menjangkaui kefahaman, maka tidak semestinya ia adalah mustahil dari sudut akal untuk menerimanya.
Maka inilah cara al-Qur'an dalam menyeru manusia kepada akidah sebenar.

                            TAUHID MENURUT AL-QUR'AN

1) Al-Qur'an menyeru manusia supaya mengenali (makrifah) Allah, iaitu dengan mengetahui bahawa Allah adalah Tuhan yang wujud,
besifat dengan qadim lagi kekal, dan tidak pula mempunyai sebarang persamaan dengan makhluk. Tuhan itu tidak memerlukan
kepada selain-Nya. Allah adalah Esa pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-perbuatan-Nya. Bahawa Allah jua yang
patut untuk disembah, dan dipersucikan daripada mempunyai sekutu, anak dan segala yang menunjukan kekurangan.
Allah bersifat dengan sifat-sifat keagungan dan kesempurnaan. Tuhan yang menciptakan alam maya ini adalah Tuhan yang Maha Berkuasa,
Maha Berkehendak, Maha Mengetahui, Maha Hidup, Maha Mendengar,Maha Melihat dan Maha Berkata-kata. Bagi membuktikan kebenaran
seruanya maka al-Qur'an membawa manusia melihat kepada dalil-dalil kauniyah (pada alam maya ini) yang mana dengan melihat
kepada dalil-dalil itu, fitrah yang ada dalam diri mereka akur bahawa alam ini mempunyai pentadbir dan penciptanya.
Lantaran itu Allah berfirman:

Yang bermaksud;

Katakanlah (wahai Muhammad): "perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi".
                                        (Surah Yunus ayat 101)
Yang bermaksud;

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut
dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit
lalu Allah hidupkan denganya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya daripada berbagai-bagai jenis
binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dan bumi;
sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan
keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
                                        (Surah al-Baqarah ayat 164)

2) Selain menganjurkan manusia supaya melihat kepada alam maya sebagai bukti kewujudan Allah, dan sifat Maha Penciptanya maka al-Qur'an
juga menerangkan sifat Maha Pencipta yang qadim dan kekal, Maha Mengetahui, serta tidak mempunyai sebarang persamaan dengan makhluk,
dan Dia pula tidak mempunyai sekutu. Allah berfirman:

Yang bermaksud;

Dia lah yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
                                        (Surah al-Hadid ayat 3)
Yang bermaksud;

Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan daripada jenis kamu sendiri, dan
menjadikan daripada jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang
demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-
sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
                                        (Surah asy-Syuura ayat 11)

Yang bermaksud;

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk
memohon sebarang hajat; Dia tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakan; dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya".
                                        (Surah al-Ikhlas ayat 1-4)

3) Al-Qur'an mengemukakan dalil tentang keesaan Allah SWT dengan firman-Nya:

Yang bermaksud:

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka
(bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, daripada apa yang mereka sifatkan.
                                        (Surah al-Anbiya' ayat 22)

4) Al-Qur'an memerintahkan manusia supaya hanya menyembah Allah semata-mata tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

Yang bermaksud;

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua.
                                        (Surah an-Nisa' ayat 36)

5) Al-Qur'an mencela orang musyrikin dan menerangkan tentang dosa kesyirikan yang mereka lakukan.

Yang bermaksud;

Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedang benda-benda itu sendiri
diciptakan? Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.
                                        (Surah al-A'raaf ayat 191-192)

6) Apabila orang yahudi mengatakan Uzair adalah anak Allah, manakala orang orang nasrani mengatakan Isa adalah anak Allah
maka al-Qur'an menyangkal dakwaan ini dengan firman-Nya:

Yang bermaksud;

Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersama-Nya; (kalaulah ada banyak tuhan)
tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakanya dengan bersendirian, dan tentulah
sesetengahnya akan bertindak mengalahkan sesetengah yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang dikatakan oleh mereka
(yang musyrik) itu.
                                        (Surah al-Mukminun ayat 91)

7) Berkaitan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah ada disebutkan oleh Allah di dalam al-Qur'an yang mana manusia tidak boleh
menamakan Allah dengan nama-nama dan sifat-sifat yang tidak disebutkan oleh Allah Ta'ala. Antara lain berkaitan hal ini Allah berfirman:

Yang bermaksud;

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani. Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci;
Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas;
Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukan segala-galanya); Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah daripada segala
yang mereka sekutukan dengan-Nya.Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada) Yang
Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi Nyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya;
bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingan-Nya, lagi Maha Bijaksana.
                                        (Surah al-Hasyr ayat 22-24)

8) Al-Qur'an menerangkan bahawa Allah telah mengutuskan para rasul dan membekalkan kepada mereka dengan mukjizat-mukjizat.
Al-Qur'an mewajibkan kita beriman dengan semua rasul-rasul itu, Allah berfirman:

Yang bermaksud;

Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman)
serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq
yang diberi-Nya; dan sebagai lampu yang menerangi.
                                        (Surah al-Ahzaab ayat 45-46)
yang bermaksud;

Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-Nabi
yang diutuskan kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi
Yaakub, serta Nabi-Nabi keturunanya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami
telah memberikan kepada Nabi Daud kitab Zabur.
                                        (Surah an-Nisa' ayat 163)

Yang bermaksud;

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman
kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara
seorang dengan yang lain daripada rasul-rasul-Nya". Mereka berkata lagi: "Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu
wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali".
                                        (Surah al-Baqarah ayat 285)

9) Al-Qur'an menceritakan perkara-perkara ghaib yang tidak dapat diketahui dengan cara pemikiran akal manusia seperti para Malaikat,
jin, ajal dan perkara berkaitan selepasnya iaitu balasan kebaikan dan balasan buruk, serta perihal berakhirnya usia alam maya ini,
dan perihal hari akhirat dan segala perkara yang berkaitan padanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan Malaikat utusan-utusan yang bersayap; dua, tiga dan empat;
Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
                                        (Surah Fatir ayat 1)

Yang bermaksud:

Dan (ingatlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepada mu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Qur'an; setelah
mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (sesetengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!"
Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al-Qur'an itu dengan) memberi peringatan dan
amaran.
                                        (Surah al-Ahqaf ayat 29)

Yang bermaksud:

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali
sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun
berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
                                        (Surah az-Zumar ayat 68)

Yang bermaksud:

Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya,- Maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
                                        (Surah al-Insyiqaq ayat 7-8)

Yang bermaksud:

Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, Maka dia akan meraung menyebut-nyebut
kebinasaannya,
                                        (Surah al-Insyiqaq ayat 10-11)

Yang bermaksud:

Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak
ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya
(untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai penghitung.
                                        (Surah al-Anbiya' ayat 47)

10) Al-Qur'an mengemukakan dalil bagaimana akal dapat menerima tentang peristiwa kebangkitan semula pada hari kiamat. Antara lain
Allah berfirman:

Yang bermaksud;

Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakanya
sambil dia bertanya; "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?" Katakanlah: "Tulang-tulang
yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala
keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya).
                                        (Surah Yasin ayat 78-79)

11) Secara umumnya al-Qur'an telah menerangkan perkara-perkara induk berkaitan akidah yang wajib diiktikadkan oleh setiap orang yang beriman.
Dengan mengingkari apa yang disebutkan oleh al-Qur'an itu bererti seseorang telah menjadi kafir. Kemudian Rasulullah s.a.w menjadi
penghurai kepada segala hal yang memerlukan penjelasan didalam al-Qur'an merangkumi perkara akidah dan syariatnya. Baginda telah menyampaikan
segala perkara yang berkaitan dengan akidah mencakupi kesemua rukun iman, yang mana generasi salaf mengambil pengajaran tersebut daripada
Baginda s.a.w melalui al-Qur'an dan as-Sunnah. Segala hal berkaitan akidah yang disebut dalam nas-nas al-Qur'an difahami oleh mereka, yang
mana mereka mempersucikan Allah daripada sebarang sifat yang tidak layak bagi-Nya, dan menyerahkan kepada Allah tanpa mentakwilkan nas-nas
yang menimbulkan kesamaran berkaitan Allah dan sifat-sifat-Nya. Setiap nas berkaitan Allah dan sifat-sifat-Nya yang menimbulkan kesamaran
untuk difahami, maka mereka akan mengatakan: Kami beriman dengannya, hanya Allah jua Yang Mengetahui maksudnya, kami beriman bahawa kesemua
itu adalah datang dari sisi Allah. Jiwa mereka tidak cenderung untuk mencari-cari takwilan ke atas nas-nas mutasyabihat itu atau melakukan
penghuraian berkaitan dengannya. Mereka beriman dengan sebenar-benarnya dan menyerahkan maksud dan kefahamannya kepada Allah SWT.

12) Demikianlah keadaannya di kalangan generasi salaf sebelum berlakunya fitnah pembunuhan Sayyidina Uthman r.a. Dengan berlakunya fitnah
akibat pembunuhan Sayyidina Uthman r.a, maka ada di kalangan penganut agama lain yang menganut Islam tetapi dengan tujuan untuk menimbulkan
kekacauan seperti Abdullah bin Saba'. Setelah itu timbulah berbagai kefahaman yang mengelirukan di kalangan umat Islam sehingga memaksa
para ulama mempertahankan kemurnian akidah Islam melalui hujah-hujah yang dimuatkan dalam penyusunan ilmu kalam seperti yang akan diterangkan selepas ini...

No comments:

Post a Comment